Tuesday, August 17, 2010



Bermulanya aku dari setitik, menjalur kepada garisan dan terbentuknya rupa dan menjadikan hidup daripada permulaan yang berbagai tone dan warna yang mewujudkan ruang yang baru dalam hidupku. Bermulanya aku keluar dari kelongsong manusia yang berhati mulia bergelar ibu.

Perlahan – lahan aku mengorak langkah. Belajar mengenal erti kehidupan yang fana, dan detik demi detik aku melihat mereka membanting tulang, mengerah keringat cuba sebaik mungkin membesarkan aku. Keikhlasan mereka memberi ruang dan waktu belajar ilmu duniawi dan akhirat. Serba lengkap, serba cukup. Sayangnya, di kala mereka tenggelam dalam kesusahan mencari nafkah dan menyara hidup, aku hanya beridiri kaku ketika itu tanpa mampu lakukan apa apa. Malah aku menambahkan beban yang ada dari hari demi hari. Aku sudah mula melawan kata mereka sejak itu, tinggikan suara terhadap mereka. Sungguh pun begitu, syukurlah aku sepenuhnya, mereka masih dan akan tetap menyayangiku.

Di usia remaja ini,aku semakin hanyut menongkah arus ke kiri. Dengan sengaja aku mengotorkan norma – norma islam yang sudah lama tercorak indah. Demikianlah yang nyata, imanku hanyalah senipis kulit bawang, serapuh buih – buih yang berterbangan. Dengarlah dunia, dikala itu perempuan menjadi kesukaanku, maksiat pula kegemaranku. Sungguhpun aku sendiri tidak mahu mengakui. Namun inilah kebenaran yang mungkin aku cuba sorok dari mata – mata yang memerhati. Tapi percayalah satu bicara ini, najis dadah dan kencing iblis itu tidak pernah berjaya memujuk imanku untuk bermain dengan mereka. Nyah kau dariku!

Zaman sekolah telah tamat. Dengan ilmu yang masih cetek aku telah dihantar menyambung pelajaranku di Kuala Lumpur. Hidup di kota seperti itu sudah tentu penuh dengan cabaran dan aku semakin jauh hanyut terbuai dengan maksiat. Pelajaranku langsung diendahkan. Tidak terdetik sedikit pun hatiku mengasihani ibuku. Aku tidak menggunakan wang yang dikirim dengan sebaiknya. Aku hanya mampu minta wang untuk berbelanja walaupun terpaksa menipu bagi mengisi poket yang kekeringan ketika itu. Maksiat tetap menjadi rutin hidupku ianya semacam tidak boleh dipisahkan. Aku pasrah, dan sekali lagi aku jatuh kecundang ditengah jalan. Aku gagal dalam pelajaranku.

Usia semakin berlari meninggalkanku, dan kerana usia ini aku sedar, aku harus memiliki sesuatu, segulung ijazah. Berbekalkan ijazah, mungkin aku mampu mengubah corak hidupku dan ianya hidup yang masih terlalu banyak perlu diperbaiki.Dengan izin yang maha Esa, pintu hatiku kini terbuka kembali untuk menimba ilmu. Aku kembali belajar. Dan insyaallah, tidak mungkin aku sia – siakan peluang kali ini. Hijrah kali ini benar – benar berbekas di hati. Ingin aku lari jauh dari nostalgia gelap yang lalu.Aku ingin berubah dan inilah hijrah. Berhijrah untuk masa depan.

No comments: